Home Pertahanan dan Keselamatan Kenapa lawatan Menteri Pertahanan China tiada liputan dari media tempatan?

Kenapa lawatan Menteri Pertahanan China tiada liputan dari media tempatan?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ahli Dewan Negara, Senator Liew Chin Tong hari ini mempersoalkan kerajaan Malaysia yang didakwa melakukan tindakan ‘media blackout’ (tiada liputan) terhadap lawatan Menteri Pertahanan China ke negara ini.

“Saya tidak faham kenapa lawatan ini tidak diberikan liputan media tempatan walhal ianya merupakan satu upacara yang penting,

“Warga media tempatan pula hanya mendapat tahu dari sumber di China (selepas lawatan dijalankan),” katanya semasa sidang media di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menambah, China dan Amerika Syarikat merupakan kedua-dua negara yang mempunyai persaingan strategik di rantau ini.

“Malaysia sebenarnya berada dalam satu rantau yang boleh terjerumus dalam krisis pada bila-bila masa terutamanya di Laut China Selatan,” ujarnya.

Beliau menambah, Malaysia perlu memainkan peranan yang penting dalam terutamanya menjadi pemimpin dalam menyuarakan pandangan yang penting (important opinion leader).

“Negara kita pernah memainkan peranan yang penting dalam penubuhan ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),

“Malaysia turut menjadi antara suara utama dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM),” jelas Chin Tong.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu menjadi suara utama untuk menyuarakan pendirian ASEAN kepada US dan China.

“Krisis yang berlaku di Laut China Selatan memerlukan Malaysia untuk bersuara secara neutral, tidak memihak kepada sesiapa,

“Kita mesti menegaskan pendirian kepada kedua-dua negara kuasa besar ini bahawa ASEAN tidak mahu memilih antara US dan China,” katanya.

Menteri Pertahanan China, Jeneral Wi Fenghe telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Gambar: Kementerian Pertahanan China.

Isnin lalu, Menteri Pertahanan China, Jeneral Wei Fenghe telah mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Malaysia.

Lawatan yang dilaporkan oleh media China itu menyebut pertemuan itu dibuat bagi mempertingkatkan hubungan bilateral antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Pada masa yang sama, Wei Fenghe menegaskan bahawa Malaysia dan China menggalas tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan serta kestabilan di kawasan perairan Laut China Selatan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply