Home Semasa Henti buli Veveonah, hormati rakyat Sabah seperti Pakatan Harapan – Guan Eng

Henti buli Veveonah, hormati rakyat Sabah seperti Pakatan Harapan – Guan Eng

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Dua orang Timbalan Menteri harus berhenti membuli Veveonah Mosibin dan berikan tumpuan untuk menaik taraf perkhidmatan kesalinghubungan internet di Sabah kata Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus menghormati rakyat Sabah seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Jelasnya, kerajaan PN perlu memberi tumpuan kepada 50 tapak dalam 13 buah desa di Sabah yang mana projek menaik taraf perkhidmatan internet yang telah pun diluluskan oleh PH sebelum ini.

“Kedua-dua mereka iaitu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri masih berdegil mempertahankan dakwaan mereka bahawa Veveonah, 18, telah menipu,

“Dalam video yang tular sebelum ini, Veveonah menyatakan bahawa beliau terpaksa memanjat pokok di Pitas bagi mendapatkan liputan internet untuk menduduki peperiksaan kerana capaian internet yang serba kekurangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata DAP pula dipersalahkan sedangkan pihak kami tidak pernah berjumpa dengan Veveonah dan hanya memberikan ulasan selepas Zahidi menyerang pelajar 18 tahun tersebut dalam ucapannya di Dewan Negara.

“Sekiranya kedua-dua Timbalan Menteri mahu terus mencari salah Veveonah, maka DAP rela mereka menukar sasaran, melepaskan geram ke atas DAP dan berhenti membuli Veveonah,

“Kedua-dua Timbalan Menteri harus buat kerja dan laporkan perkembangan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (National Fiberisation and Connectivity Plan atau NFCP) berjumlah RM290 juta untuk 152 tapak yang diluluskan oleh Kerajaan PH,

“NFCP dirancang untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan desa agar kawasan pedalaman juga mendapat perkhidmatan internet dan peluang yang sama rata,” ujarnya.

Tambah Guan Eng, daripada 152 tapak ini, 50 atau 33 peratus adalah di Sabah, dan kawasan-kawasan ini akan menikmati kelajuan internet sehingga 30 mbps.

“50 tapak ini berada dalam 13 buah desa iaitu Nabawan, Tenom, Keningau, Papar, Tawau, Semporna, Kunak, Beluran, Tongod, Tuaran, Kudat, Kota Marudu and Pitas. Secara kebetulan, Pitas ialah daerah di mana terletaknya kampung Veveonah,

“Keengganan kedua-dua Timbalan Menteri menjelaskan status NFCP, dan sebaliknya terus-menerus menyerang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) tersebut, menunjukkan sikap angkuh mereka,

“Saya berada di Sabah semasa Zahidi menyerang Veveonah di Dewan Negara dan rakyat Sabah amat marah kerana berasa mereka telah dihina,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply