Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: Op Benteng diperketat, elak sempadan dibolosi PATI

COVID-19: Op Benteng diperketat, elak sempadan dibolosi PATI

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Kerajaan akan terus memperketatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama di lorong tikus.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Operasi Benteng (Op Benteng) yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI adalah bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

“Semalam (29 Ogos 2020), PDRM telah mengadakan 62 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng di seluruh negara dan memeriksa 28,309 kenderaan bagi mengekang PATI terutamanya di lorong-lorong tikus,

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan semasa SJR dilakukan semalam,” katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut mengesahkan seramai 84 individu telah ditahan pihak polis atas kesalahan ingkar PKP.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 55 individu telah dikompaun manakala 27 individu pula direman dan 2 individu dijamin. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply