Home Semasa 109 kontak rapat kes positif Hospital Kem Terendak jalani saringan COVID-19

109 kontak rapat kes positif Hospital Kem Terendak jalani saringan COVID-19

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Seramai 109 individu telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19 membabitkan seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka pada Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua individu itu sudah disaring dan masih menunggu keputusan ujian berkenaan.

“Pada 27 Ogos 2020, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CRPC) Kebangsaan, KKM telah dimaklumkan mengenai kes positif COVID-19 dalam kalangan anggota di HAT Kem Terendak, Melaka,

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, 2 kes dikesan melalui saringan pra pembedahan dan 1 kes adalah daripada saringan bergejala di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihak Angkatan Tentera Kem Terendak bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah membuat saringan gejala dan pengambilan ujian pengesanan COVID-19 terhadap kontak rapat yang sudah dikenal pasti.

“Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah diberikan kepada kontak rapat. Bagi individu yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan teruk, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi dan rawatan lanjut,

“Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan masih diteruskan. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.-airtimes.

 

Related Articles

Leave a Reply