KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin mengucapkan tahniah kepada MIC kerana membuat keputusan tepat tidak menyertai dalam pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menjadi teras kepada PN sebenarnya tidak memerlukan MIC mahupun MCA setelah memutuskan untuk membuka keahlian pada semua kaum.
“Lagipun sebagai parti antara yang terawal dalam komponen Barisan Nasional (BN), wajar MIC bersama UMNO dan MCA terus memperkasakan BN seperti saranan Presiden UMNO,
“Ini kerana BN jenama yang telah teruji,
“Dulu curi Ahli Parlimen, sekarang nak umpan parti gabungan BN pula,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Semalam, MIC mengumumkan untuk menarik diri daripada menyertai PN, pendirian itu disampaikan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam sepucuk surat bertarikh 24 Ogos lalu.
Sebelum ini, MIC pada mulanya telah bersetuju untuk menyertai PN dengan menganggap bahawa UMNO dan BN akan turut sama, namun perkara itu telah diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak akan menyertai pakatan tersebut. – airtimes.my