Home Pertahanan dan Keselamatan ATM sahkan 3 kes positif COVID-19 di hospital tentera

ATM sahkan 3 kes positif COVID-19 di hospital tentera

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan 3 kes yang dikesan positif COVID-19 di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka terdiri dari seorang anggota tentera dan 2 orang pesakit awam.

Markas ATM Bahagian Hal Ehwal Awam J-7 dalam kenyataan berkata, 3 kes tersebut telah mendapat rawatan di HAT Kem Terendak pada 24 Ogos lalu.

“Pesakit awam berkenaan dikesan sewaktu saringan pra pembedahan dan anggota tentera tersebut dikesan setelah mendapatkan rawatan kerana bergejala,

“Kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Melaka bagi tujuan isolasi dan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, HAT Kem Terendak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah mengambil tindakan sewajarnya dengan melaksanakan kawalan pantas melalui pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Jangkitan Peringkat Hospital bagi siasatan dan pengesanan kontak rapat 3 kes tersebut.

“Ia turut melibatkan siasatan kepada petugas hospital, kerja-kerja dekontaminasi di kawasan disyaki tercemar, ujian swab serta isolasi,

“Sehingga kini ujian swab ke atas 138 orang disyaki kontak rapat telah dilaksanakan dan sedang menunggu keputusan,” ujar kenyataan itu.

Selain itu, pemantauan rapi dan penilaian berterusan dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mewujudkan kebimbangan kepada masyarakat setempat,” jelasnya.

Artikel berkaitan: COVID-19: 3 kes penularan tempatan dikesan di Kem Terendak, Melaka

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengesahkan kes penularan tempatan COVID-19 berlaku di HAT Kem Terendak, Melaka.

 

 

Related Articles

1 comment

mina1912313 3 September 2020 - 2:51 pm

semoga semuanya selamat!

Reply

Leave a Reply