Home Semasa Johor saran ujian saringan kesihatan kepada pemandu muatan berat ulang-alik Malaysia-Singapura

Johor saran ujian saringan kesihatan kepada pemandu muatan berat ulang-alik Malaysia-Singapura

by Bernama

JOHOR BAHRU, 18 Ogos  – Johor berharap kerajaan pusat akan mengambil langkah melakukan ujian saringan kesihatan melalui kaedah ujian swab atau calitan ke atas pemandu kenderaan muatan berat yang memasuki negara ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kaedah pemeriksaan suhu yang dikenakan ke atas pemandu dan kelindan lori ketika ini tidak mampu untuk mengukur tahap atau status sebenar kesihatan mereka dengan tepat.

Hasni berkata cadangan berkenaan diusulkan berikutan sempadan Malaysia-Singapura telah mula dibuka secara berperingkat bukan sahaja kepada perkhidmatan penting tetapi juga bagi kenderaan membawa bahan binaan dan sebagainya.

“Kita merasakan kenapa tidak pemandu dan pembantu (kelindan) lori ini juga disyaratkan mengambil ujian calitan. Insya-Allah perkara ini sedang dirunding pihak kementerian yang bertanggungjawab.

“Kita (kerajaan negeri) rasakan perlu buat ujian calitan bagi (mengelakkan penularan) COVID-19,” katanya ketika berucap pada Majlis Padanan Perniagaan antara Konsortium Penternak Ayam Muslim Sdn Bhd & Suruhanjaya Koperasi Malaysia di sini, hari ini.

Hasni turut berkata saranan berkenaan adalah bagi menjaga kepentingan rakyat yang terjejas dan terkesan apabila berlakunya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam usaha kerajaan membantu mendukung pertumbuhan semula ekonomi negara.

“Kita perlu jaga kepentingan masyarakat supaya wabak itu tidak terus merebak, meningkat dan RM295 bilion telah dibelanjakan kerajaan untuk mendukung ekonomi negara kita, membantu pihak terjejas kesan daripada COVID-19.

“Oleh itu, kita perlu lebih teliti dalam ujian yang dikenakan di pintu masuk negara kita. Saya berharap kerajaan pusat akan mengambil langkah-langkah tersebut untuk tujuan menjaga dan mengawal penularan COVID-19 ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa sektor pertanian akan diberi perhatian sewajarnya dalam memastikan bekalan makanan tempatan sentiasa mencukupi serta berkualiti.

“Kita akan lihat kembali semua dasar dan bantuan sedia ada, kemudian kita akan lihat cara terbaik untuk mempercepatkan proses di semua peringkat dalam sektor ini,” kata Hasni. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply