Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Renjer cekup 6 PATI cuba pulang ke Indonesia

Renjer cekup 6 PATI cuba pulang ke Indonesia

by Nurulhuda

KUCHING, 16 Ogos – Seramai 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dikesan cuba pulang ke negara asal mereka secara haram diberkas pasukan Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) di kawasan Ladang Kelapa Sawit Tetangga Akrab (jarak 5.2 km dari sempadan Malaysia/Indonesia) pada Sabtu.

Penahanan tersebut melibatkan 4 lelaki dan 2 wanita yang ingin pulang ke Indonesia melalui lorong tikus pada jam 4.30 petang.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI ditahan oleh anggota 10 RRD yang sedang menjalankan rondaan keselamatan Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged).

“Anggota 10 RRD telah melihat kesemua PATI di kawasan tersebut dengan menaiki 3 buah motosikal menuju ke sempadan dan tidak mempunyai Pas Lintas Batas yang sah,

“Kesemua PATI termasuk barangan seperti motosikal, sekampit beras (30 kilogram) dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM14,550.00 dibawa ke Balai Polis Serian untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, 2 kes cubaan keluar ke sempadan melalui jalan tikus di lokasi yang sama dalam minggu ini menunjukkan kawasan Ladang Kelapa Sawit Tetangga Akrab ini sering dijadikan laluan pilihan kepada PATI.

“Namun, hasil kerjasama pihak pengurusan ladang dan warga tempatan yang memberi maklumat, pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mengekang jenayah rentas sempadan di kawasan tersebut,

“Pihak TDM sentiasa komited, fokus dan mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi serta berupaya menganalisa persekitaran dalam mengawal sempadan negara dari sebarang pencerobohan pada sebilang masa,”tambahnya. –airtimes.

 

Related Articles

Leave a Reply