Home Semasa SPR tidak cadang beri kemudahan undi pos kepada pengundi Sabah di luar negeri itu

SPR tidak cadang beri kemudahan undi pos kepada pengundi Sabah di luar negeri itu

by Bernama

KOTA KINABALU, 15 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat masa ini tidak bercadang untuk memberi kemudahan undi pos kepada pengundi Sabah yang berada di luar negeri itu seperti di Sarawak atau Semenanjung bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata bagaimanapun, sebarang penambahbaikan hanya boleh dilakukan jika dan apabila ketelusan proses pemilihan dapat dikekalkan.

Namun begitu, Azmi berkata pihaknya mengambil maklum saranan Global Bersih melalui kenyataan media pertubuhan bukan kerajaan itu pada 5 Ogos lalu supaya SPR memberi kemudahan undi pos kepada Pengundi Luar Kawasan (PLK) bagi pelaksanaan PRN Sabah.

“SPR akan terus berusaha memperbaiki proses pengundian pos, selain meneroka pilihan alternatif untuk PLK. SPR juga memberi perhatian sewajarnya di bawah pelan penambahbaikan dengan sebuah jawatankuasa yang dibentuk untuk mengkaji isu ini.

“Ini adalah satu proses yang tidak boleh tergesa-gesa dan apa-apa penambahbaikan mesti dilakukan dengan berhati-hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata SPR melalui Pos Malaysia akan menggunakan khidmat kurier antarabangsa bagi penghantaran sampul undi pos luar negara untuk pilihan raya kali ini.

Ini susulan pemberhentian sementara perkhidmatan mel dan bungkusan antarabangsa serta Perkhidmatan Mel Ekspres (EMS) Pos Malaysia ke semua destinasi antarabangsa kecuali Singapura sejak 3 Ogos lalu, katanya.

PRN Sabah perlu diadakan dalam tempoh 60 hari susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu selepas mendapat perakuan daripada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Sabah pada Isnin ini (17 Ogos) bagi membincangkan tarikh penting urusan pilihan raya seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan dan persiapan lain diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply