Home Politik Tun M umum parti baharu Parti Pejuang Tanah Air

Tun M umum parti baharu Parti Pejuang Tanah Air

by Air Times News Network

SLIM, 13 Ogos – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti baharunya dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Parti Pejuang ditubuhkan bukan untuk memecahkan orang Melayu lagi, tetapi untuk memberi tempat kepada orang Melayu supaya mereka dapat memilih sebuah parti yang berjuang untuk mereka untuk rakyat bukan untuk ‘apa aku dapat’,

“Parti ini ditubuhkan bertujuan untuk bersihkan negara daripada rasuah dan politik wang, jadi, saya nak isytiharkan parti ini dinamakan sebagai Parti Pejuang Tanah Air,” katanya pada majlis pengumuman memperkenalkan calon parti tersebut Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam.

Menurut Dr Mahathir, parti ini mesti bersih, bukan parti apa aku dapat, serta mereka yang sudah meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai masa depan cerah untuk menyertai parti Pejuang.

“Kita akan besarkan parti kita, waktu ini ramai yang minta untuk sertai parti baru ini walaupun belum tahu namanya, tapi mereka akan ambil bahagian dalam parti baharu ini,

“Kami menjemput semua yang ingin berjuang bukan untuk apa aku dapat tetapi untuk bangsa, agama, negara, sila sertai parti Pejuang Tanah Air,” katanya.

Tambahnya, perjuangan ini bermula dengan sokongan kepada calon parti Pejuang pada PRK Slim.

“Saya harap penduduk di Slim ini akan beri sokongan penuh kepada calon kami sebagai pengakuan bahawa penduduk di sini menolak politik kewangan,

“Saya percaya penduduk di Slim ini tidak suka kepada politik wang kerana akan memusnahkan kita,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, parti Pejuang mempertaruhkan peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon bagi PRK DUN Slim sebagai calon Bebas memandangkan parti itu belum berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) lagi. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply