Home Politik Saya tidak letak jawatan PM – Tun M

Saya tidak letak jawatan PM – Tun M

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa beliau tidak pernah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7.

“Saya tidak letak jawatan…tetapi ahli-ahli (Parlimen) daripada kerajaan ini mungkin tidak faham cara-cara perlembagaan kita,

“Apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari Pakatan Harapan (PH), maka PH pun jatuh tak jadi kerajaan lagi, kalau dia tak jadi kerajaan macam mana saya nak jadi Perdana Menteri,” katanya ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbulllah Osman di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, beliau tidak boleh lagi menjadi Perdana Menteri apabila PH sudah tidak lagi menjadi kerajaan.

“Jadi macam mana saya nak letak jawatan lagi, saya dah tak ada jawatan. Ini saya fikir payah nak difaham, diulang perkara ini berkali-kali…macam tak boleh dengar ke tak tahu lah,

“Tapi sebenarnya tak ada peletakan jawatan. Saya cuma memberitahu kepada Yang di-Pertuan Agong, keadaannya iaitu saya letak jawatan,

“Ini bukan bermakna saya buat keputusan sendiri nak letak jawatan. Apabila parti saya keluar dari PH, PH tidak jadi kerajaan lagi dan semua anggota PH tentulah tergugur kerana tindakan itu,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan Bersatu keluar dari PH adalah satu pengkhianatan kepada janji parti yang dipilih oleh rakyat.

“Rakyat percaya bahawa perjuangan kita ialah untuk melawan kleptokrasi, tetapi apabila kita berada dalam kerajaan kita sabotaj kerajaan kita sendiri kerana kita nak jadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Sebelum itu, Hasbullah berkata, adalah tidak munasabah dan tidak logik pihak pembangkang menuduh mereka (Perikatan Nasional) menjatuhkan kerajaan PH kerana Perdana Menteri ketika itu yang meletak jawatan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply