Home Semasa APMM Sabah tahan bot kargo, rampas rokok seludup bernilai RM2.6 juta

APMM Sabah tahan bot kargo, rampas rokok seludup bernilai RM2.6 juta

by Bernama

KOTA KINABALU, 13 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo dan merampas 650,000 kotak kecil rokok putih bernilai RM2.6 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini Isnin lepas.

Pengarah APMM  Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata bot terbabit ditahan oleh sepasukan peronda yang sedang melakukan operasi ‘Op Api’ di kedudukan 24 batu nautika barat laut Pulau Usukan kira-kira pukul 11 malam.

“Berdasarkan maklumat Pusat Pengawasan Maritim, terdapat objek yang mencurigakan di atas bot terbabit sebelum pasukan peronda menghampiri dan menahan bot itu.

Turut ditahan seorang tekong bersama empat kru warganegara India dan dua kru warga tempatan dan kesemua mereka yang berusia 24 hingga 50 tahun itu mempunyai dokumen yang sah.” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati bot kargo terbabit  didaftarkan di Mongolia dan kesemua rokok seludup berkenaan dibawa daripada Vietnam dan akan dihantar di dua lagi lokasi iaitu Miri, Sarawak dan Balik Papan, Indonesia.

“Selain itu dokumen pelayaran bot kargo berkenaan meragukan dan tiada rekod ‘senarai kru’ serta ‘pelepasan pelabuhan’ telah tamat tempoh,” katanya.

Mohd Rosli berkata kesemua kru bot ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 manakala bot kargo tersebut ditunda ke jeti APMM, Sepanggar untuk tindakan lanjut. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply