Home Pertahanan dan Keselamatan Pencerobohan China di Beting Patinggi Ali perlu ditentang habis-habisan

Pencerobohan China di Beting Patinggi Ali perlu ditentang habis-habisan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menegaskan Malaysia perlu bertegas dalam menangani isu pencerobohan kapal pengawal pantai China (China Coast Guard) di Beting Patinggi Ali (BPA).

Menurut beliau, isu tuntutan bertindih di perairan tersebut sebenarnya tidak wujud kerana CCG telah memasuki kawasan perairan Malaysia.

“BPA adalah satu kawasan batu karang dan dah ditimbus pasir. Saya pernah tanam pokok kelapa di situ dan pokok itu dah ditebang,

“Kita ada batu tanda yang jaraknya 83 batu nautika dari pesisir Sarawak dan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif kita pula adalah 200 batu. Maknanya BPA adalah hak kita,” jelas Shahidan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, tuntutan bertindih hanya akan berlaku di kawasan sempadan. Hakikatnya, BPA adalah dalam perairan Malaysia.

“Tuntutan bertindih, ianya berlaku di kawasan sempadan. Tetapi BPA adalah dalam perairan Malaysia,

“Apa yang China lakukan adalah menceroboh. Kenapa pula dikatakan tuntutan bertindih kalau dalam perairan Malaysia,” tegas Shahidan Kassim.

Menurutnya lagi, negara jiran akan bertindak balas sekiranya berlaku pencerobohan sedemikian rupa di perairan mereka.

“Sebaliknya Malaysia hanya menggunakan jawapan ‘tunggu dan lihat’ sahaja,” ujarnya.

Pada Julai lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menegaskan tiada CCG dan Tentera Laut China (PLA- Navy) didapati menceroboh perairan Malaysia.

BPA merupakan gugusan batu karang yang terletak di utara perairan Sarawak. Ianya turut dikenali sebagai South Luconia Shoals.

Gugusan ini merupakan antara kawasan yang dituntut oleh China melalui tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.

Pada akhir Julai lalu, kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk menolak tuntutan China di perairan itu melalui surat perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply