Home Semasa Dakwaan Asri Janggut keterlaluan, guris hati warga PDRM – Hamid Bador

Dakwaan Asri Janggut keterlaluan, guris hati warga PDRM – Hamid Bador

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata kenyataan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut telah mengguris hati warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaannya yang menyatakan ramai anggota polis dan tentera tidak menjaga solat.

Beliau berkata, dakwaan Asri Janggut untuk mempersoalkan sama ada pegawai dan anggota polis bersembahyang atau tidak, dilihat agak keterlaluan.

“Tidak baik…saya pun tidak boleh mengatakan, kalau saya seorang awam pun, saya tidak boleh menuduh askar ataupun cikgu-cikgu tidak sembahyang subuh,

“Siapa tahu kita sembahyang ke tak sembahyang, ada orang rumahnya mungkin jauh dari surau dan tidak dapat pergi serta lepas itu nak bergegas ke pejabat pagi-pagi pula,

“Agak keterlaluan dan mengguris hati warga PDRM serta tidak sepatutnya kenyataan itu dibuat,” katanya pada sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Logistik dan Teknologi (JLT) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Menurut Abdul Hamid, sepatutnya isu ini tidak perlu dibangkitkan dikhalayak umum.

“Ini kerana soal kita dengan tuhan dan PDRM tidak pernah mengenepikan pentingnya didikan agama serta sentiasa disemarakkan dalam pasukan,

“Masyarakat perlu tahu dalam PDRM ini kita ada hafiz dan di setiap Ibu Pejabat Daerah di seluruh negara mempunyai surau,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan prasarana dan sentiasa memberi ruang untuk setiap pegawai dan anggota melaksanakan kewajipan masing-masing.

“Saya tidak boleh paksa semua orang sembahyang, itu antara diri masing-masing dengan Tuhan,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya penekanan berhubung nilai kegamaan memang diambil berat dalam PDRM.

“PDRM telah memutuskan baru-baru ini, kepada calon-calon Inspektor dan Konstabel yang beragama Islam perlu menjalani ujian ringkas berhubung kefahaman agama bagi melayakkan mereka menjadi anggota polis,

“Saya tidak boleh mensyaratkan bahawa hendak masuk PDRM mesti ada kelulusan Al-Azhar dan Ushuluddin,” tegasnya.

Semalam, Asri Janggut menerusi siaran langsung yang disiarkan di Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa ramai anggota polis dan tentera mempunyai masalah displin dan tidak solat. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply