Home Pertahanan dan Keselamatan United Kingdom guna khidmat bekas komando usir bot pendatang asing tanpa izin rentas Selat Inggeris

United Kingdom guna khidmat bekas komando usir bot pendatang asing tanpa izin rentas Selat Inggeris

by M.Daim

LONDON, 11 Ogos – Kerajaan United Kingdom (UK) menggunakan khidmat bekas komando dari Royal Marines untuk mengetuai operasi menghalang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara itu melalui Selat Inggeris.

Pihak Kementerian Dalam Negeri UK dalam satu kenyataan berkata, Dan O’Mahoney dilantik untuk mengetuai pasukan khas bagi memintas dan mengusir mana-mana bot PATI yang cuba memasuki negara itu melalui Selat Inggeris.

“O’Mahoney bertanggungjawab untuk memastikan laluan Selat Inggeris tidak dibolosi oleh bot PATI,

“Beliau akan berkerjasama dengan kerajaan Perancis bagi memastikan kegiatan ini dapat dibendung pada akar umbi,

“Ini termasuklah melakukan penguatkuasaan yang lebih ketat dan melakukan pemintasan serta pengusiran bot yang menceroboh,” kata kenyataan itu.

Dan O’Mahoney (kiri) mempunyai pengalaman luas dalam bidang keselamatan dan merupakan seorang veteran Royal Marines Commando.

Setiausaha Kementerian Dalam Negeri UK, Priti Patel berkata, pelantikan O’Mahoney mampu untuk menyelesaikan isu penyeludupan PATI dilaporkan semakin meningkat di negaranya.

“Pelantikan O’Mahoney adalah penting bagi memutuskan laluan ini dengan mengabungkan usaha antara rakan operasi di UK dan Perancis,

“Isu penyeludupan PATI merupakan antara isu besar serta telah lama berlarutan antara UK dan Perancis,” kata Patel dalam kenyataan itu.

O’Mahoney merupakan veteran Royal Marines Commando yang pernah berkhidmat di Kosovo dan Iraq.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Joint Maritime Security Centre (JMSC) yang terdiri daripada 15 agensi maritim di negara itu dalam menjaga perairan mereka.

Kerajaan UK sebelum ini mendedahkan seramai lebih 2,400 orang PATI berjaya menyusup masuk ke negara itu melalui perairan Selat Inggeris pada tahun 2020. Angka ini adalah lebih tinggi berbanding 1,892 orang pada tahun 2019.

PATI menggunakan bot kecil untuk merentasi perairan itu selepas kawalan ketat pada perkhidmatan feri menyukarkan kegiatan penyusupan dari Perancis. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply