Home Semasa Guna saluran tepat lapor kegiatan jenayah – Hamzah

Guna saluran tepat lapor kegiatan jenayah – Hamzah

by Bernama

SUNGAI BULOH, 11 Ogos – Orang awam disaran menggunakan saluran yang tepat dalam melaporkan sebarang kegiatan jenayah termasuk perjudian haram bagi mengelak keselamatan diri diancam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sambil mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada penjual burger Mohd Asri Hamid, 42, kerana mendedahkan aktiviti perjudian di Sungai Buloh, Hamzah berkata tindakan menyebarkan maklumat di media sosial boleh mendatangkan ancaman kepada pemberi maklumat.

“Pemberi maklumat ini memang digalakkan dalam memberi maklumat jenayah tetapi biarlah mengikut perundangan yang ditetapkan dan tidak bertindak secara melulu.

“Jangan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur tuduhan sehingga menjadi tular di media sosial, sila laporkan dan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bandar Baru Sungai Buloh di sini.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri, yang dikenali sebagai Asri Janggut, mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ditanya sama ada PDRM akan mengambil tindakan terhadap Mohd Asri, Hamzah berkata PDRM akan menyiasat pemberi maklumat itu bagi memastikan segala dakwaan beliau diambil tindakan sewajarnya.

“Kami bukan mahu menghukum dia tetapi menyiasat segala tuduhan dan tohmahan yang dikeluarkan beliau,” katanya.

Sebaliknya, Hamzah berkata polis akan mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan Mohd Asri yang mendakwa diri beliau mungkin mendapat ancaman selepas mendedahkan video itu di laman sosialnya.

Pada masa sama, tindakan tegas juga akan diambil ke atas anggota polis jika terbukti mereka terlibat melindungi pihak yang menjalankan kegiatan haram.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan Mohd Asri dan berkata polis telah membuka kertas siasatan serta akan memanggil pengguna laman sosial tersebut untuk memberi keterangan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh telah melakukan serbuan ke atas premis perjudian sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, dengan yang terbaru pada Sabtu lepas.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menghubungi Mohd Asri untuk mengucapkan terima kasih kerana mendedahkan perkara itu.

Dalam pada itu, Mohd Asri memaklumkan bahawa beliau turut dihubungi individu yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakannya mendedahkan kegiatan judi tersebut.

“Saya ada dihubungi seseorang yang mengaku dirinya sebagai ‘ayahanda’ di kawasan ini dan mengatakan apa yang saya buat ini salah. Namun tiada sebarang ugutan daripadanya diterima oleh saya.

“Perkara ini bagaimanapun telah saya maklumkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang memaklumkan siasatan akan dilakukan berhubung perkara itu,” katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa pihak berkuasa cuba melindungi premis haram, perjudian haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata pihaknya memandang serius isu yang tular dalam dua klip video mendakwa pihak berkuasa gagal memantau, menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak terlibat. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply