Home Pertahanan dan Keselamatan 3,597 tangkapan dilakukan dalam Ops Benteng semenjak 1 Mei 2020

3,597 tangkapan dilakukan dalam Ops Benteng semenjak 1 Mei 2020

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said hari ini mengesahkan sebanyak 3,597 tangkapan telah dilakukan sepanjang Ops Benteng dijalankan.

Menurut beliau, jumlah tangkapan tersebut adalah merangkumi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), tekong, rakyat tempatan dan anggota penguatkuasa.

“Semenjak Mei lalu, seramai 2,625 PATI telah ditahan dan 602 tekong. Selain itu, kita menangkap seramai 370 rakyat yang telah didapati bersubahat dalam kegiatan ini.

“Tangkapan ini juga melibatkan 25 orang penguatkuasa yang didapati menjadi petualang kepada penyeludupan PATI,” kata Ismail di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana rakyat yang didapati terlibat sebagai petualang untuk membawa masuk PATI ke negara ini.

Ismail menambah, Ops Benteng merupakan satu operasi bersepadu yang akan diteruskan.

“Operasi ini adalah yang berjaya. Ia melibatkan 3 agensi utama dengan merangkumi perkongsian maklumat dan risikan,” katanya.

Ops Benteng merupakan operasi bersepadu yang mula dilaksanakan semenjak 1 Mei 2020. Operasi ini melibatkan kawalan sempadan bagi menangani kemasukan PATI ke negara ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply