Home Semasa Kerajaan kaji undang-undang khusus tangani isu kes hina mahkamah

Kerajaan kaji undang-undang khusus tangani isu kes hina mahkamah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kerajaan kini sedang mempertimbangkan keperluan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menangani kes-kes menghina mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang),Takiyuddin Hassan berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan kajian dengan membuat perbandingan undang-undang di negara lain seperti India, United Kingdom dan Singapura.

“Kerajaan juga akan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh yang berkepentingan mengenai perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada soalan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas bagi menangani kes menghina mahkamah yang kian meningkat terutama di media sosial secara lebih efektif.

Takiyuddin menjelaskan Jabatan Peguam Negara telah mengkaji perkara itu sejak tahun 2010 dan draf telah disiapkan pada 2013 serta dirujuk kepada pihak mahkamah.

“Pada 2016 draf rang undang-undang itu telah berada di peringkat pengesahan oleh Bahagian Gubalan Jabatan Peguam Negara,

“Namun setahun sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri telah membuat pindaan terhadap Akta Hasutan yang juga melibatkan perkara penghinaan mahkamah. Oleh sebab itu, perkara berkenaan telah dikaji semula oleh kerajaan untuk memperlengkapkan dan menyelaras dengan pindaan yang dibuat,” ujarnya.

Jelasnya, pada masa ini mahkamah menggunakan prinsip common law, Akta Undang-Undang Sivil 1956 di samping beberapa peruntukan lain seperti Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani kes menghina mahkamah.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply