Home Semasa Buat promosi e-hailing sedia pengangkutan kepada pelanggan pusat hiburan

Buat promosi e-hailing sedia pengangkutan kepada pelanggan pusat hiburan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kementerian Pengangkutan menggalakkan syarikat perkhidmatan e-hailing seperti Grab untuk membuat promosi secara besar-besaran bagi menyediakan pengangkutan kepada pelanggan di pusat hiburan bagi mengatasi isu pemandu mabuk.

Menteri Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan seumpama itu akan membolehkan individu mabuk tidak memandu sendiri, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa kepada orang lain.

“Kita galakkan supaya Grab merancakkan kempen guna perkhidmatan mereka. Kita akan guna kempen ini secara besar-besaran,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pada sesi soal jawab di Parlimen, hari ini.

Beliau juga menjelaskan kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengusaha pusat hiburan menggunakan alat pengukur kandungan alkohol untuk tujuan saringan kepada semua pelanggannya.

“Memang ada kesedaran mereka (pengusaha pusat hiburan), ada yang sudah beli alat pengukur alkohol. Kita tidak mewajibkan mereka, yang penting mereka yang mengambil minuman keras tidak boleh memandu,

“Itu kita sudah syaratkan dalam kempen kita supaya tidak kira siapa pun mereka, semuanya dinasihat patuh kepada Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan 1987),” katanya.

Terdahulu, Ka Siong menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin) yang ingin mengetahui bilakah pembentangan rang undang-undang berhubung dengan kes pemandu memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Ka Siong berkata Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan dipinda bagi meningkatkan hukuman berkaitan kesalahan pemandu yang tidak mematuhi peraturan jalan raya termasuk memandu dalam keadaan mabuk.

“Ini merupakan salah satu strategi utama kerajaan dalam usaha mencegah orang ramai daripada memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,

“Isu pemandu mabuk sehingga menyebabkkan kemalangan maut adalah satu perkara yang dipandang serius oleh kerajaan khususnya kementerian pengakutan. Sekiranya perkara ini tidak dibendung dengan serius, ia akan membawa kesan buruk kepada orang ramai dan pengguna jalan raya yang tidak bersalah,

“Bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) ini telah dilaksanakan pada sesi Parlimen 27 Julai 2020 lalu, manakala bacaan ke-2 dan ke-3 turut dijadualkan dalam sesi Parlimen kali ini,

“Secara spesifik pindaan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 adalah komitmen kerajaan bagi memastikan tindakan tegas bagi kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta memandu secara melulu termasuk merempit,” katanya.

Ka Siong berkata, bidang kuasa kementerian adalah dari segi perundangan, mengenakan penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan kepada rakyat supaya mereka patuh kepada peraturan.

“Bagi sesiapa yang melanggar peraturan, hukuman berat akan menanti anda. Kali ini, kerajaan lakukan dengan serius dan kita harap ia dapat sokongan semua pihak,

“Kita hendak tekankan kepada semua, sentuh sedikit saja alkohol, tidak boleh memandu. Ini adalah cara yang bertanggungjawab yang tidak menjejaskan orang lain,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply