Home Semasa Asrama lama Maahad Tahfiz di Ipoh terbakar, tiada unsur jenayah

Asrama lama Maahad Tahfiz di Ipoh terbakar, tiada unsur jenayah

by Bernama

IPOH, 30 Julai – Seramai 115 pelajar lelaki terselamat dalam kebakaran bangunan asrama lama di sebuah Maahad Tahfiz di Kampung Lambor Kanan, Seri Iskandar dekat sini tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, BBP Parit, Teluk Intan dan pasukan bomba sukarela dikerah bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada kira-kira pukul 12.52 tengah malam.

Beliau berkata 80 peratus daripada asrama lama serta stor berkeluasan 35×40 persegi musnah dalam kebakaran itu, manakala dewan berkeluasan 35×45 kaki persegi terbakar 10 peratus, dan bilik kuliah tiga tingkat terbakar lima peratus.

Menurutnya semua pelajar bersama lima orang guru yang berada di maahad tahfiz itu sempat lari menyelamatkan diri masing-masing sebelum api merebak, dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 3.25 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso ketika dihubungi berkata setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply