Home Pertahanan dan Keselamatan ATM komited tingkat keupayaan jamin keselamatan di perairan Sabah

ATM komited tingkat keupayaan jamin keselamatan di perairan Sabah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited mempertingkatkan keupayaan dalam usaha untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin daripada sebarang bentuk ancaman.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ATM bersama Pihak Penguatkuasaan Maritim Negara (APMM) telah meningkatkan keupayaannya sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan keselamatan rakyat di Sabah khususnya di Pantai Timur Sabah terjamin daripada ancaman-ancaman luar.

“ATM telah melaksanakan atur gerak trup dan aset dari ketiga-tiga Perkhidmatan, iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebilang masa dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan tanggungjawab daripada dibolosi penjenayah rentas sempadan,

“Beberapa Batalion Infantri, Kompeni Parachute dan Kompeni Mekanize TDM, aset-aset TLDM termasuk Pangkalan Laut, aset-aset TUDM dan Pasukan Khas daripada ketiga-tiga Perkhidmatan ATM kini sedang melaksanakan beroperasi di Sabah,” kata Ismail Sabri dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Bagi cadangan perpindahan Kem Lok Kawi, beliau menambah ATM khususnya Tentera Darat telah memperkukuhkan Divisyen Ke-5 Infantri yang sebelum ini dikenali sebagai Task Force 450 dan telah ditempatkan di Kota Kinabalu untuk memerintah 3 buah Briged Infantri di seluruh negeri Sabah.

“Briged Ke-5 Infantri yang berada di Lok Kawi telah dipindahkan ke Kota Belud untuk mengawal keseluruhan keselamatan Pantai Barat Sabah,

“Briged Ke-13 (ESSCOM) pula telah ditukar nama menjadi Briged Ke-13 Infantri berpengkalan di Cenderawasih, Lahad Datu adalah untuk mengawal keseluruhan keselamatan Pantai Timur Sabah,

“Manakala, Briged Ke-32 Infantri dirancang ditubuh baru dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) di sekitar Pensiangan, Kalabakan dan Tawau untuk mengawal keseluruhan keselamatan sempadan daratan Sabah/Indonesia,” jelasnya.

Madius meminta Menteri Pertahanan menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan agar keselamatan rakyat Malaysia di Sabah terjamin daripada ancaman-ancaman luar.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply