Home Pertahanan dan Keselamatan Rompak hasil laut negara, 2 bot Vietnam bernilai RM2.5 juta ditahan

Rompak hasil laut negara, 2 bot Vietnam bernilai RM2.5 juta ditahan

by Nurulhuda

KUCHING, 28 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak, menahan 2 bot nelayan Vietnam bersama 24 nelayan termasuk tekong dengan rampasan bernilai RM2.5 juta, di jarak lebih kurang 221 batu nautika, utara Muara Tebas, Kuching.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, penahanan itu dibuat semasa bot tersebut sedang leka merompak hasil laut negara di sekitar perairan berkenaan pada jam kira-kira 7.30 pagi, 24 Julai lalu.

Menurut Robert Teh, bot terbabit ditahan oleh kapal KM Sri Aman yang sedang melaksanakan Op Naga Timur 1/2019 di sekitar perairan berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati 20 orang termasuk tekong berada di atas bot berkenaan manakala bot kedua pula seramai 4 orang termasuk tekong sedang melakukan aktiviti penangkapan hasil laut secara haram,

“Kesemua yang ditahan adalah lelaki warga Vietnam, berusia dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Robert menjelaskan, kedua-dua bot nelayan, peralatan menangkap ikan, ikan campur dianggarkan seberat dua tan dan minyak diesel sebanyak 19,000 liter disita Maritim Malaysia dianggarkan bernilai RM2.5 juta.

“Kesemua yang ditahan telah diiring masuk ke Jeti APMM, KOMTAS, Kuching dan telah menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Petra Jaya, Kuching sebagai langkah berjaga-jaga,

“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta atau penjara sehingga dua tahun kepada tekong,

“Manakala kru boleh didenda RM600 ribu setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan vesel mereka akan dilucutkan hak,” tambahnya lagi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply