Home Semasa Budayakan amalan mengibar Jalur Gemilang sepanjang masa

Budayakan amalan mengibar Jalur Gemilang sepanjang masa

by Bernama

PUTRAJAYA, 28 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah dibudayakan dalam kehidupan seharian masyarakat setelah sekian lama negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan.

Pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di sini, Muhyiddin berkata Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara dan bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan perlambangan negara.

“Kita semua dengan sendirinya dengan rela hati mengibarkan dengan megah Jalur Gemilang di sepanjang tahun, tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

“Apabila kesedaran ini sudah ada dalam diri setiap orang, maka ia bermakna kita telah berjaya menjiwai kemerdekaan negara ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Muhyiddin berkata Jalur Gemilang telah banyak kali dikibarkan di seluruh pelusuk dunia setiap kali anak Malaysia mencapai sesuatu kejayaan yang mengharumkan nama negara dan perasaan bangga itu turut sama dirasai rakyat.

“Kadang-kadang walaupun kita tak berada di tempat tersebut, kita ikut berdiri di hadapan kaca televisyen untuk merayakan kemenangan yang mengharumkan nama negara.

“Perasaan yang penuh emosi ini lahir daripada rasa ikhlas mencintai negara. Kita mengetepikan sama ada rakan senegara kita itu berlainan bangsa atau agama dengan kita. Yang penting, mereka berjaya mengharumkan nama negara dan menjulang Jalur Gemilang sebagai seorang warganegara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Muhyiddin dalam pada itu menyeru bersempena dengan sambutan bulan itu agar ia dirayakan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, di bangunan-bangunan pejabat, gedung perniagaan dan kenderaan sebagai tanda rasa cinta kepada Malaysia.

Beliau berkata para guru juga memainkan peranan untuk meneruskan amalan mengibarkan bendera kebangsaan dalam kalangan pelajar sekolah supaya ia kekal sebagai suatu tradisi yang baik kalangan generasi muda dalam masyarakat berbilang kaum.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut meminta kementerian dan agensi kerajaan untuk mengalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti yang dianjurkan sepanjang bulan kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.

Menurutnya, pelbagai aktiviti telah dirancang sempena bulan kebangsaan antaranya Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti, Pertandingan Pidato Kenegaraan dan Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka.

“Kita ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita.

“Setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang. Mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta kita kepada negara tidak akan kunjung padam sampai bila-bila.

“Saya percaya perasaan cinta kepada negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply