Home Semasa Warga asing burukkan Malaysia, Md Rayhan Kabir berjaya dicekup

Warga asing burukkan Malaysia, Md Rayhan Kabir berjaya dicekup

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Jul – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini mengesahkan warga Bangladesh yang dikehendaki, Md Rayhan Kabir telah ditahan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan berkata, lelaki terbabit telah ditahan oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya.

“Beliau ditahan pada hari Jumaat, 24 Julai 2020 jam 5.45 petang, di Setapak Kuala Lumpur. Kejayaan ini adalah hasil daripada risikan dan buruan berterusan selama 2 minggu,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Khairul turut menyatakan Rayhan akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Rayhan merupakan antara individu yang telah diwawancara oleh stesen Al Jazeera dalam dokumentari 101 East: Locked Up in Malaysia’s Lockdown.

Dalam laporan khas tersebut, Rayhan telah mendakwa warga asing di negara ini telah ditindas dan dilayan secara tidak berperikemanusiaan oleh pihak berkuasa semasa melakukan penguatkuasaan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin.

Rancangan tersebut telah mendapat kritikan dari rakyat dan kerajaan Malaysia yang menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan sengaja ditimbulkan.

Lantaran daripada itu, Rayhan telah diburu oleh pihak Imigresen semenjak 7 Julai lalu bagi membantu  siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, permit kerja warga asing terbabit telah dibatalkan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply