Home Semasa Akta FINAS digubal sewaktu tiada teknologi media sosial

Akta FINAS digubal sewaktu tiada teknologi media sosial

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 24 Julai – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah dan berniat untuk menggunakan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial.

Beliau berkata terdapat laporan yang tular berkaitan dengan keperluan FINAS untuk perfileman berikutan jawapan kepada soalan yang ditujukan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi di Dewan Rakyat semalam.

“Sebahagian daripada laporan tersebut memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan saya,

“Ketika menjawab soalan itu, saya hanya menerangkan tentang undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada 1981, dan akta tersebut telah digunakan selama ini termasuk kerajaan-kerajaan terdahulu termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),

“Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil maklum bahawa akta tersebut perlu penambahbaikan.

“Ini telah pun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM pada 20 Jun 2020, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya,

“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN (Perikatan Nasional) tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika akta ini digubal,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata KKMM terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja Akta berkenaan malah semua undang-undang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

Pada Khamis, ketika sidang Dewan Rakyat, Saifuddin ditanya sama ada lesen FINAS serta surat perakuan penggambaran diperlukan tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu (personal media) yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply