Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 535 veteran ATM berdaftar dengan JHEV terima bantuan

535 veteran ATM berdaftar dengan JHEV terima bantuan

by Bernama

IPOH, 24 Julai – Seramai 535 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Perak yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) telah menerima sumbangan pelbagai barangan seperti barang keperluan kesihatan dan makanan.

Panglima 2 Briged Brigedier Jeneral Malek Razak Sulaiman berkata penerima bantuan terdiri daripada golongan veteran yang mempunyai masalah kesihatan atau golongan kurang berkemampuan.

“Kita datang dan lihat sendiri keadaan warga veteran dan sampaikan sumbangan yang sepatutnya diterima mereka untuk meringankan beban. Sebagai contoh, sekiraya penerima mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan kerusi roda atau katil, kita akan berikan selain bantuan makanan dan ada sebahagiannya kita berikan bantuan dari segi kewangan.

“Sedikit sebanyak bantuan ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh veteran yang kebanyakannya tidak lagi mempunyai pekerjaan selepas bersara,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan barangan keperluan kepada salah seorang penerima sempena Program Lawatan Ziarah Kasih di Kampung Seri Kinta di sini, hari ini.

Penerima sumbangan, Mohd Nonbillah Abu Samah, 48, yang menerima bantuan berupa kerusi roda dan katil selain keperluan makanan mengalami angin ahmar dan menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala pada Mac lepas telah berkhidmat selama 22 tahun dan menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Koperal di Rejimen Semboyan Diraja (RSD) di Kuching, Sarawak.

Isterinya, Saliyanti Mohamad Idris, 42, berkata suaminya itu tidak mampu lagi untuk bertutur dengan baik berikutan keadaan kesihatannya yang mula merosot sejak Mac lalu.

“Suami sudah menjalani tiga kali pembedahan di kepala dan dia tidak mampu bertutur dengan baik ketika ini. Alhamdulillah, saya bersyukur menerima bantuan ini dan saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak JHEV yang menyampaikan bantuan ini,:” katanya.

Saliyanti yang mempunyai lima orang anak berusia antara 13 dan 22 tahun menyara hidup mereka sekeluarga dengan membuat kuih yang dihantar ke kedai dan kilang berhampiran. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply