Home Pertahanan dan Keselamatan 16 individu dikaitkan dengan IS di Syria telah pulang ke Malaysia

16 individu dikaitkan dengan IS di Syria telah pulang ke Malaysia

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 30 Jun 2020, seramai 16 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria telah kembali ke Malaysia.

Beliau berkata jumlah tersebut adalah merangkumi 12 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak.

“Daripada 12 orang dewasa tersebut, 9 orang telah pun dijatuhkan hukuman pemenjaraan oleh mahkamah, seorang masih lagi di dalam proses perbicaraan di mahkamah, seorang sedang menjalani Perintah Sekatan mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan baki seorang lagi telah dibebaskan,

“Manakala bagi 4 orang kanak-kanak tersebut, mereka telah diserahkan kepada keluarga,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Selayang, Willian Leong Jee Keen di Dewan Rakyat.

Hamzah menjawap soalan Willian Leong Jee Keen yang bertanyakan Menteri Dalam Negeri tentang bilangan militan IS rakyat Malaysia yang telah pulang dan langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memastikan mereka tidak melaksanakan aktiviti-aktiviti pengganas atau militan di Malaysia.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM sentiasa memberikan komitmen yang penuh di dalam menangani ancaman daripada kumpulan pengganas.

“Polis akan terus membuat pemantauan secara berterusan ke atas elemen-elemen perkembangan Daesh di negara ini dan tindakan penguatkuasaan akan dibuat sekiranya berjaya mengesan mana-mana individu yang pulang dari negara bergolak yang juga dikenali sebagai Foreign Terrorist Fighters (FTFs) daripada kembali melakukan aktiviti-aktiviti keganasan,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan mempunyai mekanisme bagi mengawal dan memantau pergerakan dan aktiviti FTFs yang ingin atau telah kembali ke negara ini.

Antara mekanisme yang dilaksanakan oleh PDRM adalah seperti berikut:

(1) Pengumpulan maklumat risikan melalui kerjasama dengan agensi perisikan dan keselamatan asing bagi memantau aktiviti pengganas yang berpotensi untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara serta mematahkan sebarang cubaan meloloskan diri kumpulan pengganas ke Malaysia;

(2) Meningkatkan kawalan di semua pintu masuk negara yang diwartakan dengan menyenaraihitam individu-individu yang disyaki sebagai pengganas. Tindakan ini bertujuan untuk menyekat pergerakan mereka di semua pintu masuk atau keluar di seluruh negara;

(3) Membuat tindakan penguatkuasaan sekiranya pihak polis berjaya mengesan mana-mana FTF yang telahpun kembali ke negara ini dengan melalui pintu-pintu masuk yang tidak sah;

(4) Melaksanakan program deradikalisasi atau proses pemulihan khusus kepada FTF yang telah ditangkap. Program ini dilaksanakan dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, program pemulihan ini telah dirangka secara sistematik dengan menggunakan Modul Deradikalisasi Bersepadu yang mencakupi aspek keagamaan, kewarganegaraan, psikologi, kekeluargaan dan nilai-nilai murni.

“Mereka juga akan sentiasa berada di bawah pemantauan pihak PDRM selama tempoh yang dirasakan perlu bagi memastikan mereka tidak terlibat kembali dengan aktiviti keganasan,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply