Home Pertahanan dan Keselamatan Isu Laut China Selatan diurus melalui dialog – Menteri Pertahanan

Isu Laut China Selatan diurus melalui dialog – Menteri Pertahanan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Jul – Malaysia berpegang teguh pada pendiriannya bahawa isu-isu Laut China Selatan harus diuruskan secara aman dan rasional menerusi dialog dan rundingan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan menyatakan, Ismail Sabri menegaskan perkara itu dalam perbualan telefon dengan sejawatannya dari Jepun, Kono Taro pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, Ismail Sabri menekankan kepentingan semua pihak bekerja bersama untuk menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

“Kedua-dua menteri juga menyentuh tentang landskap keselamatan global yang dinamik melibatkan kepentingan bersama, termasuk Laut China Selatan,” demikian menurut kenyataan itu.

Kedua-dua menteri juga berbincang serta saling memaklumkan perkembangan terkini tentang langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang diambil kedua-dua negara, khususnya membabitkan Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Pertahanan Diri Jepun, dalam membendung penularan wabak COVID-19.

“Walaupun menghadapi cabaran penularan wabak COVID-19, kedua-dua menteri pertahanan menzahirkan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan pertahanan bilateral berasaskan kepentingan bersama kedua-dua negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri hari ini turut menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia, Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Taha.

“Antara perkara yang dibincangkan ialah mengukuhkan hubungan pertahanan di antara Malaysia dan Brunei, khususnya dalam kerjasama keselamatan sempadan serta pembendungan COVID-19,” demikian menurut kenyataan itu.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply