Home Politik Kem Mahathir dan Warisan jadi blok bebas, umum keluar dari PH

Kem Mahathir dan Warisan jadi blok bebas, umum keluar dari PH

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 5 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang setia menyokongnya membuat keputusan mengumumkan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan luar Parlimen.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka juga tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan bersama adalah dari Tun Mahathir (AP Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (AP Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (AP Muar), Dr Maszlee Malik (AP Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (AP Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (AP Sri Gading).

Menurut kenyataan itu, mereka masih berpegang dengan keputusan yang telah diambil pada mesyuarat 25 Jun lepas bersama dengan pemimpin Warisan, AMANAH dan DAP untuk menamakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Kedua.

“Walaupun Majlis Presiden PH telah menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ia tidak melibatkan saya dan rakan-rakan BERSATU mahupun Warisan,

“Kami masih lagi berpegang dengan cadangan yang dibuat hasil dari perbincangan antara saya dengan pemimpin Warisan, AMANAH dan DAP,” kata kenyataan itu.

Perbincangan bersama itu juga telah bersetuju dan menyokongan cadangan untuk mencalonkan Shafie kerana mahu menyelesaikan kebuntuan memilih calon yang sesuai dan mampu mendapatkan sokongan untuk mendapatkan kembali mandat rakyat dari kerajaan sekarang.

“Mesyuarat 25 Jun 2020 itu telah meminta saya membuat pengumuman mengenai keputusan memilih Mohd Shafie dan saya telah lakukan pada 27 Jun 2020,

“Setelah pengumuman dibuat, DAP dan AMANAH bagaimanapun, apabila menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai lalu telah tidak berpegang kepada keputusan menamakan Mohd Shafie dan sebaliknya menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri,” ujarnya.

Tambah mereka, mencalonkan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil, bukan sahaja kerana percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkat hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Selain itu juga, mereka turut menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat dan akan meneruskan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuhkan kerajaan yang tidak dipilih oleh rakyat.

“Kami masih utama perjuangan asal kami iaitu untuk menolak kembalinya kepada kerajaan kleptokrasi,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply