Home PolitikPakatan Harapan PH komited Anwar kekal calon PM

PH komited Anwar kekal calon PM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Jul – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata kekal komited dengan pendirian asal untuk mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Majlis Presiden PH yang bermesyuarat hari ini juga membincangkan cadangan pencalonan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

Menurut kenyataan bersama Anwar, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata mesyuarat tersebut berpendirian semua usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden PH memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Shafie bagi menyempurnakan pengembalian mandat tesebut,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Majlis Presiden turut memutuskan sebulat suara menolak usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menggugurkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Majlis Presiden konsisten dengan pendirian bahawa fokus Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak COVID-19.

“Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka kerajaan negeri yang ditadbir PH sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply