Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal peronda baharu APMM perkasa penguatkuasaan di perairan Kelantan, Sarawak

Kapal peronda baharu APMM perkasa penguatkuasaan di perairan Kelantan, Sarawak

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 6 Jul – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) hari ini menerima dua kapal peronda New Generation Patrol Craft (NGPC) iaitu Kapal Maritim (KM) Kinabalu dan KM Tok Bali untuk memperkasakan lagi penguatkuasaan di perairan Kelantan dan Sarawak.

Majlis penerimaan dua kapal NGPC tersebut telah disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang turut dihadiri Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som di Limbongan Destination Marine Services Sdn Bhd, Pelabuhan Klang.

Hamzah berkata dua kapal NCPC ini akan memperkasakan lagi penguatkuasaan APMM dalam membanteras kesalahan-kesalahan di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM) terutamanya isu pencorobohan bot nelayan asing yang hangat diperkatakan umum.

“Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat serius dalam menangani semua perlakuan jenayah di dalam ZMM dan pelbagai usaha serta inisiatif sedang dilakukan untuk mengupayakan APMM dari pelbagai aspek termasuklah aset laut dan udara, infrastruktur serta keanggotaan,” katanya.

Beliau menegaskan keperluan ini adalah tepat pada masanya berikutan keanggotaan APMM di dalam National Task Force (NTF) dan melaksanakan Op Benteng bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Dengan mengoptimumkan aset-aset laut dan udara, perkongsian malumat serta memanfaatkan teknologi Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA),” ujarnya.

Tambah Hamzah, dua kapal ini merupakan lima daripada enam kapal NGPC yang telah diterima oleh APMM, manakala kapal ke-6 masih di dalam proses pembinaan.

“Perolehan enam NGPC ini melibatkan kos sejumlah hampir RM400 juta. Kesemua NGPC dibina sepenuhnya di dalam negara oleh syarikat tempatan Destination Marine Services Sdn Bhd,” jelasnya.

KM Kota Kinabalu ini akan ditempatkan di Kuching, Sarawak manakala KM Tok Bali akan ditempatkan di Tok Bali, Kelantan.

“Penempatan kedua-dua kapal ini adalah lebih tertumpu kepada membanteras pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara, khususnya di Laut China Selatan,

“Kapal NGPC ini berukuran 45 meter panjang dengan kelebaran 7.7 meter dan mampu berlayar dengan kelajuan 24 knot, beroperasi selama 10 hari di laut tanpa ulang bekal bagi tugas penguatkuasaan serta tugas carilamat,” ujarnya.

Di samping itu, NGPC ini juga dilengkapi dengan Meriam 30mm Aselsan, Rigid Inflatable Boat (RIB) sepanjang 7 Meter, Long Range Surveillance Camera (kamera pemantau yang mampu mengambil gambar siang dan malam) dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) atau dron yang berupaya melakukan pemantauan udara dengan jarak jauh.

Di samping itu, NGPC juga memiliki kelengkapan dalam menggendalikan tumpahan minyak secara komprehensif.

Dalam pada itu, APMM juga bakal menerima tiga kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) yang berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Menurut beliau lagi, OPV pertama dijangka diterima pada hujung 2020 dan selebihnya dijangka siap pada tahun hadapan.

“OPV ini berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar dan mampu melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil,” katanya.

Jelasnya, OPV ini juga dilengkapi dengan Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan dilengkapi fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan fast interceptor craft, bilik rawatan serta bilik tahanan.

“OPV ini juga didatangkan bersama radar X dan S band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas serta boleh menempatkan 70 orang anak kapal dengan 20 penumpang dalam satu masa bagi melaksanakan operasi di laut,

“Sebagai agensi utama yang menjaga kawasan perairan negara, kemampuan APMM akan diperkasakan dari masa ke masa dengan perolehan aset-aset baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan berteknologi tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga dalam proses memajukan permohonan bagi perolehan Multi Purpose Mission Ship (MPMS) atau kapal induk yang dilengkapi dengan peralatan canggih berteknologi tinggi serta berkemampuan membawa 6 unit fast interceptor craft dan UAV.

Selain itu, dengan keupayaan aset seperti ini, KDN yakin dalam masa terdekat APMM akan setanding dengan agensi Coast Guard antarabangsa.

Tambahnya lagi, pencerobohan bot nelayan asing merupakan satu ancaman yang kritikal kepada industri perikanan negara dan bukan sahaja merompak hasil laut negara serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan, malah turut merosakkan ekosistem biodiversiti marin. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply