KUALA LUMPUR, 3 Julai – Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad menegaskan kerajaan perlu mengeluarkan statistik serta fakta harian dalam usaha membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini.
“Setakat ini, kita lihat hanya terdapat beberapa kenyataan sahaja yang dikeluarkan dan ianya hanya menyentuh bilangan tangkapan terkumpul,
“Namun, kita tidak diberitahu statistik yang jelas menunjukkan bilangan PATI di negara ini,” katanya semasa sidang media di Wisma MPM, semalam.
Beliau mengulas usaha kerajaan yang pada ketika ini sedang mempergiatkan operasi banteras PATI melalui Ops Benteng.
“Oleh kerana tiada statistik sebegini jelas, pelbagai pihak akan mempersoalkan cara dan langkah yang diambil dalam membendung PATI,
“Menyentuh pihak yang membidas usaha ini, mereka hanya melihat dari satu sisi sahaja tetapi tidak pula memuji tindakan pasukan keselamatan kita memberikan makanan dan minuman kepada PATI yang dihalang sebagai bekalan mereka pulang ke tempat asal,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan wajar menjadikan cara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“(KKM) memberikan statistik harian dan juga SOP. Ini adalah berbeza dengan apa yang kita lihat dalam isu PATI,
“Kita berharap pihak Jabatan Imigresen, polis, tentera serta agensi terlibat berganding bahu untuk menghasilkan satu SOP dan fakta yang lengkap secara harian,
“Oleh kerana tiada statistik sebegini, pelbagai pihak akan mempersoalkan cara dan langkah kerajaan untuk menangani PATI,” katanya. -airtimes.my