Home Pertahanan dan Keselamatan APMM berjaya rampas dadah bernilai RM61 ribu

APMM berjaya rampas dadah bernilai RM61 ribu

by Air Times News Network

ROMPIN, 1 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Pahang berjaya merampas dadah bernilai kira-kira RM61,000 di Tanjung Gemok Kuala Rompin, pada Sabtu lepas.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, sekitar jam 3.00 petang semasa anggota APMM membuat rondaan dalam Op Makmur terserempak dengan empat orang lelaki menaiki sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan yang mencurigakan.

“Setelah suspek menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak cuba melarikan diri tetapi gagal dan berjaya ditahan oleh anggota APMM,

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa dua bungkusan plastik hitam yang mengandungi 15 bungkusan plastik kecil didalamnya dan disyaki dadah jenis syabu (Methamphetamine) dengan anggaran kasar seberat 238.5 gram bersama wang tunai lebih kurang RM3,350.00,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Amran, hasil soal siasat dijalankan ke atas empat suspek tersebut, telah membawa kepada penggeledahan di sebuah rumah di Endau Mersing dan berjaya menangkap empat lagi suspek bersama sejumlah dadah jenis syabu dan heroin seberat 388.85 gram berserta wang tunai RM600.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 627.35 gram termasuk bot fiber yang dinaiki suspek bernilai RM87,000.

“Semua suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 49 tahun itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,

“Kita percaya sindiket ini bermula di Johor dan menyeludup masuk ke Pahang menggunakan jalan air untuk pasaran Daerah Rompin. Ini merupakan tangkapan pertama melibatkan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya bagi Maritim Negeri Pahang setakat ini,” katanya.

Menurutnya, APMM Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari masa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply