Home Semasa 55 individu ditahan gagal patuhi PKPP

55 individu ditahan gagal patuhi PKPP

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 1 Jul – Seramai 55 individu ditahan semalam, dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia selepas didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Susulan daripada itu, 11 individu telah direman manakala 44 individu lagi telah dikenakan kompaun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan antara kesalahan ingkar arahan PKPP yang dilakukan individu terbabit termasuklah aktiviti karaoke atau pusat hiburan keluarga yang melibatkan 12 orang dan aktiviti refleksologi atau urut seramai 6 orang.

Manakala aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (29 orang) dan aktiviti yang melanggar SOP (6 orang).

“PDRM melalui Task Force Operasi Pematuhan melibatkan 2,850 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 13,166 anggota telah membuat 61,262 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP,

“Sebanyak 3,896 pasar raya, 5,574 restoran serta 1,068 penjaja, 972 kilang, dan 1,625 pasar awam/tani telah diperiksa. Turut diperiksa semalam, 4,087 tempat ibadat serta 1,632 tempat riadah,” jelas beliau dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata PDRM juga telah berjaya menahan 3 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

“PDRM telah membuat 66 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dan memeriksa 42,955 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, seramai 1,157 PATI dan 211 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama bermula 1 Mei lalu sehingga semalam.

“Turut ditahan 76 individu yang disyaki penyeludup serta 36 buah kapal,” tambahnya lagi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply