Home Semasa COVID-19: Kluster persidangan gereja Kuching tamat, hanya 3 kes baharu dilaporkan

COVID-19: Kluster persidangan gereja Kuching tamat, hanya 3 kes baharu dilaporkan

by Farrah Najihah Hisyam

PUTRAJAYA, 23 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak telah ditamatkan sekaligus menjadikan jumlah kluster yang aktif akibat positif COVID-19 di Malaysia menurun kepada 21 buah kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata kluster ini merupakan salah satu kluster yang telah dikesan sejak awal wabak COVID-19 di Malaysia.

“Sehingga hari ini, seramai 2,751 individu telah disaring dan didapati 191 kes yang positif COVID-19,

“Dari jumlah kes tersebut, 12 telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan terdapat tiga kes kematian dilaporkan dalam kluster ini iaitu kematian ke-2 (kes 358), kematian ke-37 (kes 2,471) serta kematian ke-67 (kes 2,864),” jelasnya.

Kluster ini telah melibatkan sehingga lima generasi dari pelbagai kawasan di Sarawak.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan, pertambahan tiga kes baharu yang dilaporkan hari ini merupakan kes penularan dalam negara iaitu dua kes adalah bukan warganegara dan satu kes lagi adalah warganegara Malaysia.

Beliau turut menambah, sebanyak tiga kes positif sedang dirawat di ICU, tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan serta tiada kes kematian berkaitan wabak berkenaan dilaporkan pada hari ini.

Related Articles

Leave a Reply