Home PolitikPakatan Harapan PKR tolak Tun M jadi PM ke-9, calonkan Anwar

PKR tolak Tun M jadi PM ke-9, calonkan Anwar

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

MPP dalam satu kenyataan hari ini berkata, kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya,

“PKR komited untuk terus mengukuhkan PH, dan akan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya dalam masa terdekat,” katanya.

MPP PKR mengadakan mesyuarat khas hari ini bersama ahli-ahli parlimennya bagi membincangkan dan membuat keputusan mengenai calon perdana menteri sekiranya PH kembali mentadbir negara.

Dalam pada itu, PKR akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi Pilihanraya Umum mengejut yang mungkin akan dibuat bila-bila masa.

“PKR juga menghargai usul dan usaha rakan-rakan dalam DAP dan AMANAH yang secara konsisten menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri,” ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata partinya telah membuat keputusan untuk menyokong Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH sementara Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Semalam, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata opsyen yang dicadangkan DAP untuk PH melantik semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah saranan terbaik. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply