Home Semasa COVID-19: Kluster Meninggal Di Rumah dikesan

COVID-19: Kluster Meninggal Di Rumah dikesan

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 17 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat satu kluster baharu dikenal pasti di Sabah iaitu kluster Meninggal Di Rumah (MDR).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut adalah melibatkan kes kematian ke 120 iaitu kes ke 8,403 yang membabitkan seorang warga emas di Sabah dan 2 kes positif setakat ini.

“Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-8,403) adalah seorang warga emas yang telah meninggal dunia di rumah pada 12 Jun 2020 akibat komplikasi sakit jantung dan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth,

“Saringan COVID-19 telah dijalankan dan beliau didapati positif. Sebelum ini beliau telah mendapat rawatan untuk penyakit jantung di Hospital Queen Elizabeth 2,

“Aktiviti saringan kontak rapat dijalankan dan didapati dua kakitangan wad positif COVID-19,” kata Dr Noor Hisham pada sidang akhbar harian di KKM di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini seramai 63 individu termasuk 21 anggota kesihatan, dua pesakit, 40 ahli keluarga dan rakan dikenal pasti serta disaring.

Menurut beliau, langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di semua tempat yang dikenal pasti terdedah termasuk di wad dan rumah arwah.

“Perkhidmatan Hospital Queen Elizabeth 2 tidak terjejas dan berterusan seperti biasa. Punca jangkitan kluster ini adalah masih di dalam siasatan,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan sebanyak 10 kes baharu positif COVID-19 dicatat hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,515 kes.

Beliau berkata daripada 10 kes baharu tersebut, 3 daripadanya membabitkan bukan warganegara dan tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan.

“140 kes telah pulih daripada COVID-19 dilaporkan dan ia menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya serta dibenarkan discaj daripada wad adalah sebanyak 7,873 kes,

“Tiada kes kematian direkodkan hari ini sekali gus menjadikan kumulatif kes kematian akibat wabak berkenaan di Malaysia kekal sebanyak 121 kes,” ujarnya. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply