Home Semasa PAS gesa kerajaan tarik balik pelantikan Eric Paulsen sebagai ahli MPKM

PAS gesa kerajaan tarik balik pelantikan Eric Paulsen sebagai ahli MPKM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik pelantikan Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata PAS begitu terkejut dengan pelantikan Eric Paulsen sebagai salah seorang ahli MPKM.

“Eric Paulsen adalah seorang peguam yang terkenal dengan sikap dan pandangan yang sangat sinis terhadap Islam dan perkara-perkara berkaitan hal ehwal Islam,

“Sikap dan tindakan beliau sangat jelas bertentangan dengan roh dan semangat Perlembagaan Persekutuan, “ kata Kamarulzaman dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kamaruzaman pelantikan Eric ini tidak wajar kerana beliau begitu jelas menentang semangat Perlembagaan Persekutuan dan tidak mampu memberikan input yang positif.

“Sehingga kini Eric masih belum kendur sentimen negatifnya terhadap Islam,

“PAS menggesa supaya perlantikan Eric Paulsen ditarik balik dan diganti dengan individu yang lebih sesuai dengan semangat Perlembagaan Persekutuan,

“PAS bersedia untuk berjumpa dan berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu ini demi kesejahteraan negara dibawah semangat kerajaan Perikatan Nasional,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah telah mengumumkan penubuhan MPKM sebagai platform bagi kerajaan membincangkan dan mendapatkan input daripada pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM menggabung jalinkan wakil-wakil daripada tiga sektor iaitu kerajaan, perniagaan (swasta) dan masyarakat sivil yang dianggotai oleh 15 ahli termasuk tiga dari KKMM iaitu Saifuddin sebagai pengerusi, timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai timbalan pengerusi dan Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad.

Ahli MPKM lain ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Dr Awang Sariyan; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Tokoh Wartawan Negara 2019 Tan Sri Johan Jaafar; bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Prof Emerita Datuk Dr Mazlan Othman; dan Pengerusi UEM Sunrise Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Turut menganggotai MPKM ialah Pengarah Program Third World Network Chee Yoke Ling; Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) Danny Lee; Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Paul Selvarajah; dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Kavita Mahendran.

Ahli lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Tany Kiob@ Anthony Kiob; Wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Eric Paulsen; dan pakar pembangunan start-up Mohd Razin Muhammad. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply