Home Pertahanan dan Keselamatan ATM pertingkat rondaan di tempat tumpuan awam, pastikan SOP PKPP dipatuhi

ATM pertingkat rondaan di tempat tumpuan awam, pastikan SOP PKPP dipatuhi

by Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertingkat rondaan di tempat tumpuan awam bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata selepas sekatan jalan raya rentas negeri ditutup, fokus penugasan anggota tentera kini adalah rondaan penguatkuasaan SOP di kawasan seperti pasar awam dan pasar malam.

Beliau berkata rondaan itu dipertingkatkan lagi bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP seterusnya rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan.

“ATM kini membuat rondaan penguatkuasaan SOP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan membantu penugasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Op Benteng yang dilaksanakan bersama PDRM untuk memburu tekong serta anggota sindiket berhubung pendatang asing tanpa izin akan dipertingkatkan.

“Op Benteng akan dipertingkatkan kerana beberapa sektor ekonomi telah dibuka semula dan ianya sudah tentu menjadi tarikan kepada pendatang tanpa izin untuk masuk ke negara ini,” katanya.

Affendi berkata pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan tentera luar bagi memastikan cubaan menceroboh ke negara ini dapat dipatahkan.

“ATM ada membuat kolaborasi dengan pihak tentera luar yang bersempadan dalam usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PDRM telah menarik balik semua sekatan jalan raya kecuali di kawasan lorong tikus bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.  – Bernama

Related Articles

Leave a Reply