Home Pertahanan dan Keselamatan PDRM, ATM tubuh pasukan khas pematuhan PKPP

PDRM, ATM tubuh pasukan khas pematuhan PKPP

by Bernama

KEPALA BATAS, 10 Jun  – Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan pasukan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini hingga 31 Ogos.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pasukan itu akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP, kerana tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di sempadan negeri, selepas berakhir tengah malam, tadi.

“Sebelum ini terdapat enam SJR di sempadan negeri di SPU dan telah ditutup sepenuhnya tepat jam 12 tengah malam tadi kerana telah diberi kebenaran untuk merentas negeri. Bagaimanapun, polis akan mendirikan SJR berdasarkan kepada sebarang informasi berkaitan pencegahan jenayah.

“Selain itu, polis bersama pihak tentera akan buat pemeriksaan di semua premis termasuk di tempat awam sepanjang PKPP. Kerjasama kami diteruskan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan dan jika ingkar  mereka boleh dikompaun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan penutupan SJR di Plaza Tol Bertam, di sini malam tadi.

Beliau berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, 800 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan antaranya polis, ATM, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertugas bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan dan membendung penularan wabak COVID-19.

Sepanjang operasi itu, 585 individu dikompaun manakala 558 ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar PKP dan PKPB di daerah SPU, katanya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah 19 Rejimen Askar Melayu (RMAD) (Mekanize), Leftenan Kolonel Azmi Abdul Rahim berkata ATM sentiasa bersedia dan menjalankan tugas dalam menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang PKPP dilaksanakan.

“Kami ditugaskan untuk membantu polis dan bersedia berdepan segala kemungkinan apatah lagi keadaan wabak ini belum pulih sepenuhnya, malah ATM serta polis bekerjasama rapat dalam Ops Penawar dan COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.- Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply