Home Semasa 6,234 rakyat Malaysia masih berada di benua Afrika

6,234 rakyat Malaysia masih berada di benua Afrika

by M.Daim

PUTRAJAYA, 7 Jun – Wisma Putra hari ini mengesahkan seramai 6,234 rakyat Malaysia masih berada di benua Afrika.

Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari ini, angka tersebut adalah berdasarkan bilangan rakyat Malaysia yang telah berdaftar melalui pewakilan negara di benua itu sehingga 1 Jun lalu.

“Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di Afrika memantau rapat perkembangan kes COVID-19 di benua berkenaan,

“Selain itu,bantuan sewajarnya sentiasa dihulurkan kepada rakyat yang terjejas akibat penguatkuasaan langkah-langkah pengekangan penularan wabak oleh kerajaan-kerajaan negara di benua tersebut,” katanya.

Wisma Putra turut menyatakan pihaknya sentiasa berusaha untuk menyediakan alternatif terbaik kepada rakyat yang terkandas.

“Antara usaha yang diambil ialah menyelaras maklumat penerbangan komersil bagi membawa rakyat Malaysia ke negara ketiga yang mempunyai penerbangan ke Kuala Lumpur,

“Pada masa yang sama, pihak perwakilan Malaysia akan mencari alternatif kaedah penerbangan yang bersesuaian dan pada kos yang berpatutan,” jelasnya lagi.

Selain itu, Wisma Putra turut mengalu-alukan penglibatan mana-mana individu, organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu memudahcara kepulangan rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas. – AirTimes.my

Related Articles

Leave a Reply