Home Semasa Rentas negeri dibenarkan jika ‘teringin’ untuk bernikah

Rentas negeri dibenarkan jika ‘teringin’ untuk bernikah

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 2 Jun – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perjalanan rentas negeri bagi urusan akad nikah dibenarkan dengan memohon kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ismail Sabri, Mesyuarat Khas Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah bersetuju memberi kebenaran itu bagi memudahkan urusan akad nikah pasangan.

Namun ia perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti tidak melebihi 20 orang, mengamalkan penjarakan sosial dan tidak salam bersalaman.

“Rupanya banyak yang nak bernikah sewaktu PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan,

“Antaranya terpaksa merentas negeri kerana pasangan berada di negeri lain, jadi ramai yang memohon daripada PDRM untuk merentas negeri bagi tujuan akad nikah,

“Jadi mesyuarat faham keperluan tersebut dan bersetuju membenarkan rentas negeri bagi urusan akad nikah dengan syarat sama iaitu perlu ada kelulusan pihak polis,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Dalam pada itu, mesyuarat juga telah bersetuju dengan permohonan jurufoto perkahwinan untuk mula beroperasi hari ini.

“Bagaimanapun aktiviti ini terhad kepada penggambaran pra-perkahwinan dan akad nikah serta tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan,

“Majlis perkahwinan adalah masih tidak dibenarkan,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply