Home Semasa Tak sangka mereka ke sungai – Bapa

Tak sangka mereka ke sungai – Bapa

by Bernama

KUALA BERANG, 28 Mei  – Bapa kepada tiga beradik yang dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu, Kampung Kuala Telemong, di sini, semalam, tidak menyangka anak-anaknya akan ke kawasan itu tanpa pengetahuannya.

Mohd Ismail, 64, berkata, ketika kejadian tersebut beliau sedang menyapu sampah di kawasan masjid dan apabila diminta orang kampung untuk ke sungai, beliau beranggapan telah berlaku kecurian buah kelapa yang ditanamnya, di kawasan tersebut.

Beliau yang mempunyai lapan orang anak berkata, orang kampung kemudiannya meminta beliau untuk mengenal pasti beberapa barangan yang ditemui di tebing sungai, sama ada ia milik anak-anaknya atau sebaliknya.

“Saya kenal selipar, baju, serta telefon, yang ditemui orang kampung, adalah barangan-barang mereka dan saya pasti yang dikhuatiri lemas itu ialah anak-anak saya, walaupun jasad mereka belum ditemui.

“Saya tidak sangka mereka ke sungai, kerana sebelum ini saya melarang keras anak-anak agar tidak pergi ke situ, walaupun hanya kira-kira 200 meter dari rumah kami,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Ketiga-tiga mangsa tersebut ialah Umar Iskandar, 21, dan dua adiknya, Khairil Firdaus, 17, serta Khalif Naim, 15 tahun.

Selain itu, Mohd yang juga seorang pesara Tenaga Nasional Berhad berkata, episod duka itu dikatakan bermula apabila anak keenam, Khalif Naim dilihat hampir lemas dan cuba diselamatkan Khairil Firdaus, sebelum diikuti Umar Iskandar.

“Sebelum turun ke masjid, saya melihat mereka bertiga sedang menyapu sampah di sekitar rumah. Adik bongsu mereka yang berusia 12 tahun ada maklumkan bahawa abang-abangnya pergi ke sungai, untuk membasuh kaki.

“Mereka bertiga berpesan kepada adik bongsunya itu agar tidak memberitahu saya perkara itu (pergi ke sungai). Sebelum itu salah seorang daripada mereka dikatakan telah pergi ke jambatan untuk meninjau keadaan air sungai,” katanya.

Mohd berkata, sejak beberapa hari lalu tiada sebarang perubahan sikap yang ketara ditunjukkan mangsa selain ketiga-tiganya mahu bergambar bersamanya, sambil memakai baju melayu sedondon, pada hari raya pertama.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pukul 8 pagi tadi dengan radius pencarian sejauh 500 meter dari lokasi kejadian dengan kekuatan 60 anggota termasuk polis, bomba serta sukarelawan.

Turut hadir ke lokasi kejadian pada awal pagi tadi ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan beliau dilihat menemui beberapa ahli keluarga mangsa serta pihak polis bagi mendapatkan maklumat terkini. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply