Home Semasa Rentas negeri: Jangan terkejut kalau polis, tentera beraya di rumah sekali

Rentas negeri: Jangan terkejut kalau polis, tentera beraya di rumah sekali

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 19 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah terutama ketika hari perayaan nanti.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika didapati terdapat jumlah kenderaan yang banyak di luar sesebuah kediaman, pihak berkuasa akan membuat semakan di kediaman berkenaan.

“Apabila balik kampung, ramai yang menganggap pihak polis tidak akan membuat kawalan di rumah mereka,

“Betul, tidak mungkin setiap rumah ada polis untuk membuat kawalan,

“Saya dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa pihak polis akan meronda di setiap kawasan dan jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan menyemak kediaman tersebut,

“Kalau banyak kereta, berkemungkinan ramai orang dalam rumah itu. Dan pihak polis akan memeriksa jumlah individu yang berada dalam rumah tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri menegaskan, pihak polis dan tentera telah bersetuju untuk mengarahkan  anggotanya untuk melakukan rondaan pada hari raya pertama dan hari-hari seterusnya bagi memastikan SOP terus dipatuhi.

“Justeru, semua pihak diingatkan mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan,

“Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Sehingga semalam, Ismail Sabri menjelaskan, sebanyak 1,633 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM.

Beliau turut menegaskan bahawa pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan kecuali atas hal kecemasan atau kerja, dan kebenaran rentas negeri perlu dikeluarkan oleh PDRM. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply