Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat tingkat pemantauan di seluruh sempadan di Sabah

Tentera Darat tingkat pemantauan di seluruh sempadan di Sabah

by Bernama

KOTA KINABALU, 17 Mei – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus meningkatkan pemantauan di semua sempadan negeri Sabah dalam usaha memastikan ia tidak dibolosi anasir luar.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata Malaysia telah menubuhkan pasukan petugas kebangsaan bagi menentukan perairan serta daratan negara tidak mudah dibolosi.

“Kebanyakan lorong tikus ini sudah lama wujud. Bagaimanapun, kita telah mengarahkan Panglima Medan Timur mengkaji serta memperketat kawalan di semua kawasan dikenal pasti.

“Kita sudah mengaturgerak antara 80 hingga 150 anggota menerusi operasi yang kita kenali sebagai Ops Kerangka bagi meningkatkan pemantauan,” katanya selepas Lawatan ke Kawasan Pengoperasian Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan bertanggungjawab (KTJ) Divisyen Kelima Infantri, di sini semalam.

Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Lima Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Dalam pada itu, Ahmad Hasbullah turut meminta orang ramai menjadi mata dan telinga dalam membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Selaku jentera kerajaan, kita mengakui kawasan yang berada di bawah pemantauan adalah terlalu luas. Oleh itu, kita perlukan kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama sewaktu musim pandemik ketika ini,” katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply