Home Semasa COVID-19: 70 kes baharu, 1 kematian direkodkan hari ini

COVID-19: 70 kes baharu, 1 kematian direkodkan hari ini

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 11 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 70 kes baharu wabak pandemik COVID-19 dikesan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penambahan itu menjadikan jumlah kes positif wabak berkenaan di Malaysia adalah sebanyak 6,726 kes.

Dr Noor Hisham menegaskan daripada jumlah jangkitan baharu itu, 31 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Daripada jumlah itu juga, 13 adalah daripada kes import, manakala 57 lagi adalah membabitkan penularan tempatan,

“Sehingga hari ini juga, sebanyak 88 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,113 kes,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,504 kes dan seramai 20 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta daripada jumlah tersebut, 7 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan melaporkan sebanyak 1 kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 109 kes.

“Kes kematian ke-109 (kes ke-6,657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan barah hati,

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 Mei 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 Mei 2020 jam 5.15 pagi,” jelas Dr Noor Hisham. – AirTimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply