Home Semasa COVID-19: SOP solat berjemaah diperhalusi – Muhyiddin

COVID-19: SOP solat berjemaah diperhalusi – Muhyiddin

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 10 Mei – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi tatacara atau Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membolehkan solat berjemaah di masjid dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selepas SOP ini dimuktamadkan, ia akan dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja- Raja selaku Ketua Agama Islam persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. InsyaAllah, kita doakan keadaan akan bertambah baik,

“Tambahan pula telah banyak kawasan-kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah,

“Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan,” kata Muhyiddin dalam Perutusan Khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin yakin solat jemaah di masjid akan dapat dilakukan dalam masa terdekat sekaligus membolehkan umat Islam dapat menunaikan ibadah dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan  turut akan mengumumkan SOP tertentu untuk gereja dan rumah-rumah ibadat bagi membolehkan penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, dan sehingga kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat tidak dibenarkan untuk mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.

Pada 4 Mei lalu, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula berkata, pembukaan semula masjid dan surau bagi aktiviti agama akan dilakukan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang telah disiapkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama).

Beliau berkata, pelaksanaan garis panduan itu tertakluk kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa serta kebenaran daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara). – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply