Home Semasa COVID-19: 67 kes jangkitan baharu libatkan 49 bukan warganegara Malaysia

COVID-19: 67 kes jangkitan baharu libatkan 49 bukan warganegara Malaysia

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 10 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 67 kes baharu akibat wabak pandemik COVID-19 dikesan sehingga tengah hari tadi.

Penambahan itu menjadikan jumlah kes positif wabak berkenaan di Malaysia adalah sebanyak 6,656 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 49 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga hari ini juga, sebanyak 96 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,025 kes (75.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),

“Seramai 18 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 6 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, sehingga 12 tengah hari tadi, tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 108 kes atau 1.62 peratus.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham berkata KKM menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disambung sehingga 9 Jun 2020.

Beliau berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada kerajaan dalam memerangi penularan wabak berkenaan sehingga ke tahap yang lebih terkawal sekali gus mengimbangi pembukaan sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati.

“Tahap keberkesanan tindakan ini akan dinilai dari semasa ke semasa,

“Pihak KKM juga akan menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif COVID-19 di negara ini melalui pengesanan kes aktif dan pendekatan tertumpu iaitu pengesanan, penyaringan dan ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi,

“Tindakan ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan melalui pelaksanaan PKPB dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” tambah Dr Noor Hisham.- AirTimes

 

Related Articles

Leave a Reply