Home Semasa Tabung COVID-19 bantu 94 individu hilang pekerjaan

Tabung COVID-19 bantu 94 individu hilang pekerjaan

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 9 Mei – Seramai 94 individu yang hilang pendapatan kerana dirawat sebagai pesakit COVID-19 dan menjalani proses kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit telah menerima Bantuan Khas Hilang Pendapatan bernilai RM100 sehari dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM125,700.00

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan khas tersebut adalah daripada Tabung COVID-19 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mac lalu.

“Bagi individu yang telah dirawat kerana positif COVID-19 atau kontak rapat kepada pesakit telah dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19, mereka akan diberi RM100 sehari bagi 14 hari tempoh kuarantin,

“Mereka yang layak memohon adalah warganegara Malaysia yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian yang diarah kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 14 hari,

“Dan mereka yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital (warded) ekoran COVID-19,

“Saya ingin menjelaskan bahawa mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak layak menerima bantuan ini.”katanya ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Selain daripada itu, Ismail Sabri menjelaskan Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 turut diserahkan kepada semua waris mereka yang telah terkorban akibat COVID-19.

“Bantuan Ihsan Kematian juga telah diberikan kepada 71 waris dengan jumlah RM355,000.00,

“Manakala sebanyak RM25,229,105.44 pula telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara untuk bantuan kepada warganegara Malaysia yang memerlukan, “ tambah Ismail Sabri.

Sehingga 7 Mei 2020, Tabung COVID-19 telah mengumpul sebanyak RM40,298,699.49 hasil sumbangan pelbagai pihak. – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply