Home Semasa Kampung Tabuan Lot lokasi kedua pengesanan aktif COVID-19 di Sarawak

Kampung Tabuan Lot lokasi kedua pengesanan aktif COVID-19 di Sarawak

by Bernama

KUCHING, 9 Mei  – Kampung Tabuan Lot menjadi lokasi kedua pengesanan secara aktif kes penyakit COVID-19 di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata operasi yang bermula pada 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini secara bersepadu itu melibatkan pengesanan kes aktif kontak rapat kepada kes positif dan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas lebih 2,100 penduduk melibatkan 423 kediaman.

“Di kampung ini terdapat seorang mangsa yang telah meninggal dunia dan satu kes yang kita tidak dapat mengaitkannya dengan sebarang kluster yang ada. Jadi, program ini dilaksanakan kerana pembawa (COVID-19) ini mungkin tidak menyedari telah menyebarkan virus itu kepada keluarga, jiran dan komuniti,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kampung berkenaan di sini hari ini, beliau berkata seramai 171 petugas daripada Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi pengesanan kes aktif itu.

JPBN berpendapat, pengesanan awal kes COVID-19 ini amat berguna kerana dapat mengesan kes positif COVID-19 dengan pantas disebabkan wujud kalangan pesakit wabak ini tidak mempunyai sebarang simptom, katanya.

Sebelum ini, aktiviti pengesanan aktif kes COVID-19 dilakukan di Kota Samarahan iaitu di Taman Desa Ilmu dan Taman Unigarden.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply